23 Februari 2008
Pagi itu aku bangun awal walaupun hari itu hari cuti awam bagi menyambut hari kemerdekaan Brunei. Kakak mengajak aku awal pagi lagi membeli kuih untuk Babah yang teringin sangat mau makan kuih putu mayam. Satu kedai ke satu kedai kami cari kuih putu mayam tapi satu kedai pun tidak jumpa. Akhirnya kami singgah di satu kedai menjual kuih malangnya kuih yang dicari tidak ada. Mau tidak mau aku beli kuih lain.
Luluh hatiku melihat reaksi wajah Babah bila aku beritahu kuih yang dia inginkan tidak ada. Perlahan-lahan dia menjalankan kerusi roda miliknya masuk ke bilik. Pagi itu memang Babah tidak banyak cakap. Aku pergi menjenguknya di bilik, dia hanya diam dan tunduk. Aku bertanya "Babah mau tart telur?" dan dia hanya menjawab "Nanti Babah makan". Beberapa minit kami berbual bersama tiba-tiba perutku memulas sakit mau ke tandas. Lebih dari 10 minit aku menghabiskan masa di tandas sambil berfikir apakah yang membuatkan perut ku meragam. Tiba-tiba lamunan ku di sedarkan oleh suara jeritan Mummy. Aku pun bergegas keluar dari tandas dan melihat Mummy menangis di depan pintu bilik. Aku menghampirinya dan melihat Babah tersungkur lemah di lantai bilik. Jiran kami yang juga bapa saudara ku mengangkat Babah ke katil. Waktu itu Babah tidak sedarkan diri lagi tetapi nadinya masih berdenyut. Aku membisik memberi kata-kata semangat untuknya. Badannya mula terasa sejuk dan aku hanya mampu memeluknya.
Setelah ambulan datang kami pun bergegas ke hospital. Sepanjang perjalanan aku hanya befikir apakah yang akan terjadi seterusnya. Hanya Allah yang tau perasaan ku waktu itu. Setelah sampai Babah dibawa masuk ke dalam bilik kecemasan. Kami menunggu diluar menanti dengan penuh harapan bahawa Babah akan selamat. Tiba-tiba jururawat masuk mengatakan bahawa mereka sedang berusaha dan masih menunggu tindak balas dari Babah. Mummy dipanggil untuk masuk ke dalam bilik kecemasan untuk melihat keadaan Babah dan kami hanya menunggu diluar oleh kerana seorang saja yang dibenarkan masuk. Setelah beberapa minit Mummy pun keluar dari bilik itu dan reaksinya kelihatan lemah. Aku hanya mampu diam dan menahan sebak melihat Mummy. Doktor yang merawat Babah melangkah masuk dan seakan-akan perasaan ini sudah tau apa yang akan diberitahu. "Kami sudah melakukan yang terbaik untuk Haji tapi Allah lebih sayangkan beliau". Tiada siapa yang tau perasaan ku luluh pada ketika itu. Langkah demi langkah ku teruskan menuju masuk ke bilik kecemasan. Aku hanya mampu melihat Babah tidur dengan tenang. Aku mengucup dahinya buat kali terakhir. Itulah hari terakhir aku melihat wajahnya. Allah lebih sayangkan Babah...
"Ya Allah, sesungguhnya dari-Mu kami datang dan kepada-Mu jua kami kembali"